KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin di semenanjung Gaza.

PAPTI menilai alasan bahawa kononnya mereka mempertahankan diri tidak dapat diterima kerana sejak lebih 50 tahun dahulu, sejarah merakam kezaliman dan penindasan berterusan oleh pihak Israel ke atas penduduk asal Palestin.

Mereka menghalau, merobohkan kediaman, membunuh orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak bahkan menceroboh kiblat pertama umat Islam iaitu Masjidil Aqsa.

Perbuatan keji dan biadab ini telah mencemar kehormatan agama Islam dan telah mengguris hati serta perasaan umat Islam di seluruh dunia.

Sehingga hari ini, kawasan padat penduduk di Gaza terus dibedil dan ia menimbulkan pelbagai krisis kemanusiaan.

Justeru, PAPTI menyambut baik kenyataan bersama oleh tiga negara Islam dalam ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang mengecam serangan Israel terhadap Palestin.

Ia menunjukkan solidariti 250 juta umat Islam di rantau ini terhadap perjuangan rakyat Palestin.

PAPTI berharap tindakan lebih berani perlu diambil oleh Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC), Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta seluruh elemen antarabangsa yang masih memiliki nilai kemanusiaan untuk mengambil tindakan meredakan keadaan di semenanjung Gaza itu dan mengambil tindakan terhadap Israel.

PAPTI juga mengalu-alukan sebarang bentuk perkongsian oleh para ahli baik dari segi ilmu, derma kepada pertubuhan yang sah dan apa-apa cara yang boleh membantu perjuangan rakyat Palestin.

LUKMAN BIN ISMAIL
PRESIDEN
PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA
17 MEI 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *