KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah membuka peluang kepada para alumni Indonesia menganggotai persatuan itu secara terbuka apabila menawarkan pendaftaran secara dalam talian (online) mulai 1 April lalu.

Melalui kaedah itu, alumni Indonesia yang  belum menganggotai persatuan yang ditubuhkan sejak 45 tahun lalu itu lebih mudah menganggotai PAPTI berbanding cara konvensional melalui borang khas sebelum ini.

“Tawaran ini kita buka selama tiga bulan, di mana rakyat Malaysia yang pernah belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di Indonesia boleh mendaftar sebagai ahli PAPTI tanpa mengenakan yuran pendaftaran.

“Manakala mereka yang sudah menjadi ahli juga digalakkan untuk mengisi borang keahlian online ini bagi tujuan mengemas kini maklumat keahlian masing-masing,” kata Ketua Biro Keahlian, Encik Ahmad Zaini Ismail.

Menurut Ahmad Zaini, walaupun mereka yang mendaftar secara online ini secara automatik menjadi Ahli Biasa PAPTI, mereka tetap terikat dengan Perlembagaan persatuan di mana setiap ahli dikehendaki melunaskan yuran keahlian apabila mereka menghadiri mesyuarat agung yang akan datang.

Mengikut Perlembagaan PAPTI, persatuan itu mengenakan yuran pendaftaran ahli sebanyak RM10 manakala yuran Ahli Biasa sebanyak RM40 untuk sekali seumur hidup, manakala mereka yang mahu menjadi Ahli Seumur Hidup boleh berbuat demikian dengan membayar yuran sebanyak RM100.

Beliau berkata, pendaftaran secara online ini merupakan kaedah paling berkesan untuk menjejak alumni Indonesia yang bertebaran di seluruh negara yang jumlahnya dipercayai mencecah puluhan ribu orang mulai angkatan 1970-an sehingga kini.

“Setiap tahun ada sahaja mahasiswa Malaysia di Indonesia yang menamatkan pengajian mereka dan pulang ke tanah air tetapi mereka tidak dapat dijejaki. Justeru, kita berharap apabila semua menyertai PAPTI kita mempunyai rekod jumlah alumni Indonesia sebenar,” katanya.

Justeru, Ahmad Zaini berharap semua alumni Indonesia tanpa mengira kaum, dapat mengisi borang online yang disebarkan melalui kumpulan-kumpulan WhatsApp, Telegram dan Facebook selain penyebaran secara langsung kepada alumni.

Sehingga kini lebih 200 alumni baik yang baharu mendaftar sebagai ahli mahukan ahli lama yang mengemas kini maklumat sudah mendaftar menerusi borang online tersebut.

“Kami sasarkan sebanyak 500 ahli dapat didaftarkan dalam tempoh tiga bulan tawaran ini dibuka. Alhamdulillah, berdasarkan sambutan yang kami terima setakat ini kami yakin sasaran itu dapat dicapai.

“Kami mengharapkan sokongan ahli-ahli lain untuk menyebarluaskan pautan ke borang tersebut dalam kalangan rakan-rakan alumni yang lain yang mungkin tidak dapat dijangkau oleh pihak kami sendiri,” kata Ahmad Zaini.

Mereka yang belum mengisi borang keahlian PAPTI itu boleh berbuat demikian menerusi https://forms.gle/3qN2otRRCVWR2J3q7  sebelum atau pada 30 Jun 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *