KENYATAAN PRESIDEN

BARISAN kepimpinan PAPTI bagi sesi 2019-2021 kini memasuki separuh penggal sejak pelantikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut kita sudah mengadakan dua kali mesyuarat Ahli Majlis dan kita terpaksa menangguhkan mesyuarat seterusnya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PHP) ekoran wabak COVID-19.

Walaupun begitu, dalam tempoh tersebut kita juga telah menyiapkan Sistem Keahlian Online PAPTI dengan kerjasama sebuah syarikat. Walaupun pembangunan sistem ini memakan masa agak lama berbanding yang kita jangkakan, namun akhirnya ia dapat disiapkan dan telah mula beroperasi.

Dalam tempoh yang sama, sejak April lalu kita telah membuka pendaftaran ahli menerusi online menggunakan Google Form. Alhamdulillah, kita berjaya mendaftar sebanyak 254 orang ahli dengan 58.7 peratus adalah ahli baharu manakala 18.1 peratus tidak pasti sama ada pernah menjadi ahli atau sebaliknya. Manakala baki 23.2 peratus lagi adalah ahli-ahli yang mengemas kini maklumat masing-masing.

Data keahlian yang kita kumpulkan menerusi Google Form ini akan kita integrasikan ke dalam Sistem Keahlian PAPTI yang sudah kita siapkan menerusi pautan http://ahli.papti.my bersama data keahlian manual sedia ada. Hasil daripada gabungan data-data ahli tersebut, kita dapat mengumpul hampir 1,000 orang ahli. Bagaimanapun, data ini perlu dibuat semakan bagi memastikan tiada pertindihan ulang nama-nama ahli berkenaan. Semakan ini kita akan buat secara bersama setelah PKP berakhir.

Kita juga sudah memindahkan laman web PAPTI (http://www.papti.my) dari server percuma di Blogger.com kepada server yang disewa. Pemindahan ini sudah diselesaikan dan kita juga sudah menyiapkan wajah baharu laman web tersebut yang lengkap dengan sistem pendaftaran ahli online sendiri.

Ekoran perkembangan terbaru ini, saya dapati kita memerlukan pasukan yang lebih mantap bagi mengemas kini maklumat PAPTI di dalam laman web kita, selain menerusi media sosial kita di samping bagi memperkukuhkan lagi pengurusan persatuan kita untuk bergerak ke hadapan.
Sehubungan itu, saya telah membuat keputusan untuk membuat sedikit pertukaran dalam barisan biro-biro PAPTI seperti berikut:

  1. Sdr Ahmad Nabieh Abqori bin Rahmat akan dilantik sebagai Setiausaha Agung PAPTI yang baharu.
  2. Sdr Tuan Ismail bin Tuan Abdullah akan mengetuai Biro Tugas-tugas Khas.
  3. Sdr Muhammad Nasaruddin bin Ab Rais akan mengetuai Biro Penerangan yang baru dibentuk.

Pertukaran ini berkuat kuasa serta-merta.

Kepada Setiausaha Agung yang baharu diharap dapat menguruskan pertukaran setiausaha dengan Pendaftar Pertubuhan (www.eroses.gov.my) pada kadar segera manakala bagi urusan pertukaran tandatangan cek persatuan, pengesahan akan dibuat dalam mesyuarat Majlis PAPTI akan datang.

Semoga kita semua sebagai Ahli Majlis yang telah diberi amanah oleh ahli-ahli persatuan kita, maka saya berharap kita semua dapat menunaikan tanggungjawab kita dengan jujur, ikhlas dan dedikasi.

Sekian, terima kasih.

LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI 2019-2021
6 Jun 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *